Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan awal seba­nyak RM20 juta akan disediakan bagi membiayai latihan kemahiran tambahan yang bernilai tidak melebihi RM2,000 secara percuma kepada 10,000 peminjam terawal di bawah program tersebut.

“PTPTN akan menyediakan portal JobMatchingPTPTN untuk peminjam membuat permohonan jawatan kosong yang disediakan. Selepas itu padanan antara kelayakan akademik, pengalaman dan minat peminjam dengan jawatan kosong akan dibuat sebelum mengatur temuduga antara majikan dengan peminjam yang melepasi saringan pertama dilakukan.

“Mereka yang berjaya sepenuhnya akan terus ditawarkan pekerjaan sementara mereka yang memerlukan kemahiran tambahan akan ditawarkan secara bersyarat, iaitu melalui latihan kemahiran tambahan yang disediakan,” katanya dalam ucapan ketika me­rasmikan Sambutan 20 Tahun PTPTN di Pusat Konvensyen Sime Darby dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Pengerusi PTPTN, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Tambah Ahmad Zahid, bagi menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menaikkan jumlah pinjaman untuk golongan berpendapatan rendah (B40) , PTPTN telah memberi kelulusan terhadap kenaikan pinjaman untuk beberapa kursus dengan kebolehpasaran yang tinggi.

“Antara yang diluluskan adalah kenaikan pinjaman kursus Ijazah Sarjana Muda Perubatan (MBBS) di semua universiti swasta, Diploma Pengajian Nautika di Akademi Laut Malaysia (Alam), Diploma Penerbangan (Latihan) di Kolej Meritus dan kursus profesional Assocation of Chartered Certified Accountants (ACCA).

“Selain itu, PTPTN turut memberikan komitmen untuk menaikkan jumlah pinjaman bagi golo­ngan berpendapatan rendah (B40) bagi kursus lain mengikut universiti dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, PTPTN juga hari ini akan melancarkan Program Hadiah Ca­butan Wow! Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia (SSPN1M).

“Inisiatif yang telah dibuat sejak tahun 2012 ini diteruskan lagi tahun ini dengan tawaran hadiah yang lebih menarik, berjumlah RM2 juta.

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pendidikan yang telah memilih akaun SSPN1M sebagai insentif yang diberikan kepada warganya yang terpilih sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Ia sememangnya pilihan bijak ke­rana SSPN1M memberikan faedah yang banyak dan bukan simpanan semata-mata,” katanya.