Kali ini, peminjam PTPTN tidak lagi dapat lari daripada membayar hutang apabila peminjam yang berpendapatan lebih RM1,000 akan dikenakan potongan gaji berkadar antara dua hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam.

Walau seriuh mana sekalipun kecaman peminjam di dalam media sosial mengenai keputusan tersebut namun kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuktikan bahawa hutang tetap hutang, walau apa cara sekalipun tetap perlu dibayar.

Malah hari ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyatakan beliau bersedia untuk menerima kritikan kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) sukar melaksanakan janji itu kerana keadaan fiskal negara.

Ditambah pula, kata Guan Eng, dengan wang bernilai RM50 bilion yang diambil oleh ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low menjadikan janji PH itu semakin sukar direalisasikan.

Bagaimanapun, jika dilihat kembali, dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebelum ini, antara janji PH adalah menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4,000 sebulan dan janji itu disambut dengan sorak sorai oleh peminjam PTPTN.

Malah Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, sebelum ini dilaporkan berkata mana-mana peminjam yang berpendapatan RM4,000 ke bawah diberi penangguhan bayaran balik PTPTN, seiring usaha kerajaan meringankan bebanan rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup.

Apa yang ditagih oleh para peminjam kini adalah janji penangguhan hutang pinjaman tersebut memandangkan gaji lebih RM1,000 pada masa ini tidak mencukupi terutama bagi graduan yang baru sahaja mula mencari rezeki di ibu kota yang serba mahal pada masa ini.

Dengan situasi masa kini, nampaknya para peminjam perlu menerima hakikat bahawa hutang pinjaman PTPTN tidak lagi boleh ditangguh, maka selamat membayar hutang diucapkan kepada semua. - UTUSAN ONLINE