Bagaimanapun Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, PTPTN akan membuat penjelasan tersebut setelah meneliti semua dasar, atau jika perlu satu kenyataan akhbar mengenainya akan dikeluarkan oleh pihak PTPTN.

"Kami (PTPTN) akan mengadakan sidang media mengenai ini pada Isnin depan atau saya akan bagi kenyataan media, kerana ada beberapa dasar yang perlu diteliti," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada Selasa lepas, Kongres Kesatuan Pekerja- Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menegaskan akan menarik balik kebenaran terhadap agensi itu untuk membuat pemotongan gaji penjawat awam, sekiranya mereka masih melaksanakan pemotongan maksimum.

Presidennya Datuk Azih Muda juga melahirkan rasa kesal terhadap tindakan agensi itu serta menganggapnya sebagai tidak wajar kerana ia hanya akan membebankan kedudukan kewangan penjawat awam yang terbeban dengan kos sara hidup.- BERNAMA