Menurut Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid, jumlah dicatatkan itu meliputi 2.8 juta orang peminjam dan 3.1 juta pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dan SSPN-i Plus yang menunjukkan trend peningkatan.

Katanya, prestasi positif dicapai hasil perancangan kempen dan promosi di di seluruh negara dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta bagi menyebar luaskan perkhidmatan ditawarkan PTPTN kepada pelanggan.

"Selain kaunter bergerak disedia bagi memudahkan pelanggan mengakses perkhidmatan PTPTN, kami lancarkan juga kempen Cabutan Wow 20 Tahun PTPTN sebagai penghargaan kepada pelanggan yang bertuah.

"Kempen ini membolehkan pelanggan terpilih menerima hadiah RM10,000 bagi setiap pencarum akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus selain menikmati potongan cukai RM12,000," katanya yang ditemui dalam majlis Hari Mesra Pelanggan dan Penyampaian Hadiah Cabutan Wow 20 Tahun PTPTN Bulan Oktober 2017 di sini, hari ini.

Sementara itu, cabutan bulanan kali ini menyaksikan pendeposit, Azlifah Ismail, 38, dipilih sebagai pemenang bertuah hasil caruman akaun anaknya Airis Sofea, 7, sejak empat tahun lalu.

Menurut Mastura, sehingga November sebanyak RM410,000 komisen dibayar kepada pelanggan tetinggi mencarum dalam Program Sahabat PTPTN yang dimulakan sejak 2015 dengan jumlah majikan berdaftar adalah 1,700 terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan serta swasta."Daripada jumlah itu 337 majikan yang berdaftar adalah di Selangor. Jabatan Pendidikan Negeri menerima Insentif Khas Sahabat, RM209,440 dan juga Komisen Sahabat RM34,330; diikuti Jabatan Kesihatan Negeri (RM22,060) dan Universiti Teknologi Mara meraih RM18,918," ujarnya. - UTUSAN ONLINE