Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, cadangan pembiayaan melalui projek PSR ini bukan sahaja dapat menampung sepenuhnya kos pembinaan projek transit aliran ringan (LRT) dan Lebuh Raya Pan Island Link 1 (PIL-1), malah akan membantu menanggung kos operasi dan penyelenggaraan kedua-dua projek itu pada masa depan.

Menurut Kon Yeow (DAP-Padang Kota), hal ini boleh dilakukan menerusi penjanaan pendapatan daripada pembangunan tanah PSR.

“Projek ini (LRT dan PIL-1) juga merupakan salah satu langkah penyelesaian dalam memastikan kelestarian pembangunan ekonomi di Pulau Pinang pada masa akan datang.

“Sekiranya PSR tidak dilaksanakan, maka, kerajaan negeri perlu mendapatkan bantuan daripada kerajaan Persekutuan untuk membiayai kedua-dua projek berkenaan,” katanya ketika menjawab soalan lisan oleh Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubok).

Terdahulu, Khai Loon ingin mengetahui mengenai cara yang lebih lestari dan efektif dari segi kos dalam melaksanakan projek di bawah PTMP selain mahu mengetahui sejauh mana usaha kerajaan negeri untuk mendapat pinjaman daripada kerajaan Persekutuan bagi membina LRT.-UTUSAN ONLINE