Pengarah PSN Mismah Jimbun berkata, PSN yang dibuka semula Oktober lalu dalam sajian lebih mengujakan pengunjung berupaya menjadi salah sebagai destinasi yang mesti dikunjungi apabila ke Kuala Lumpur.

"Sambutan amat memberangsangkab. Walaupun sasaran kita hanya 5,000 hingga 10,000 sehari, tetapi apabila hujung minggu, PSN menerima kira-kira 18,000 orang.

"Ini menunjukkan minat orang ramai terhadap sains, teknologi, dan inovasi telah meningkat dan diharapkan PSN akan terus menjadi pusat rujukan mengenai bidang berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Monsoon Science Camp 2017 anjuran bersama Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSSKT) dan PSN selama tiga hari di sebuah hotel, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi PSKT, Afnida Aini  Alwi; Ketua Sektor Pengurusan Akademik Azman Othman dan Penolong Pengarah Jabatan Mateorologi Terengganu, Izzudin Mansor.

Katanya, lima galeri baharu diwujudkan dalam usaha memberi pengetahuan yang lebih meluas dan lebih mengujakan sebagai tambahan kepada galeri yang sedia ada sebanyak empat buah.

Difahamkan, kira-kira RM20 juta diperuntukan untuk menaikkan taraf PSN  yang merupakan fasa pertama dan fasa kedua dijangka siap pada 2019.

Sempena dengan pembukaan baharu itu juga, PSN memberi masuk secara percuma kepada pengunjung sehingga akhir tahun ini sebelum dikenakan semula bayaran antara RM3 (kanak-kanak) dan RM6 (dewasa) manakala kumpulan pelajar sekolah menengah RM3 dan RM2 untuk sekolah rendah.

Mengenai Monsoon Science Camp 2017, sebanyak 15 buah sekolah rendah di negeri ini yang melibatkan 60 murid tahun lima dan enam menyertai program tersebut yang  diadakan selama tiga hari.

Program tahunan itu bertujuan menarik minat pelajar untuk meneroka lebih lanjut mengenai bidang sains, geografi dan iklim. - UTUSAN ONLINE