Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, mereka boleh menikmati cuti iaitu Sabtu dan Ahad seperti biasa berikutan pihaknya tidak membuat sebarang ketetapan berhubung pembekuan cuti.

“Terpulang kepada bos (ketua perkhidmatan) masing-masing termasuk untuk memberi kelulusan cuti tahunan atau ke luar negara.

“Pada masa sama tertakluk kepada jenis perkhidmatan dan tanggungjawab seperti SPR atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memang bertugas ketika itu (pilihan raya). Setiap ketua orga­nisasi bijak dalam membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jangkauan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Zon Timur 2018 di sini hari ini.

Menurut Zainal Rahim, pi­hak­nya tidak mempunyai sebab untuk menghalang kakitangan awam bercuti disebabkan PRU-14 berkemungkinan diadakan pada bila-bila masa.

Sementara itu, beliau mahu kira-kira 800,000 pesara penjawat awam menyambut baik pelancaran aplikasi 1PesaraFindMe bagi menikmati kemudahan terutama dari aspek kebajikan yang disediakan kerajaan.

“Aplikasi yang dibangunkan secara dalam talian itu membolehkan kita terus berhubung dengan pesara terutama dalam mendapatkan maklum balas mengenai kehidupan mereka selepas tamat perkhidmatan.

“1PesaraFindMe juga boleh diakses menggunakan telefon pintar, maklumat seperti nombor telefon dan alamat pesara juga boleh didapati pada aplikasi itu bagi memudahkan perhubungan pada masa depan,” jelasnya.

Tambahnya, sebelum ini ini­sia­tif 1PesaraFindMe sudah di­perkenalkan pada 2014 yang merupakan program kolaborasi strategi empat agensi iaitu JPA, Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Manusia sebagai satu pengurusan pesara kerajaan dengan lebih sistematik.