Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, keharmonian masyarakat Malaysia sepatutnya diterjemahkan dengan rasa saling hormat-menghormati terhadap perbezaan agama, budaya, bahasa dan bangsa.

“Jika ada mana-mana individu yang melakukan provokasi sedemikian, jangan salahkan pihak berkuasa jika tindakan dilakukan ke atas beliau. Orang itu telah terlepas dalam banyak tindakan dan kita harap jangan mana-mana pihak melakukan provokasi.

“Ini bukan amaran. Saya cuma mahu memberitahu bahawa tindakan pasti akan dilakukan. Sebab apabila orang itu pernah terlepas dalam beberapa tindakan lalu, tidak semestinya orang itu akan terlepas dengan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

“Saya memberitahu jangan salahkan pihak berkuasa jika tindakan undang-undang atau sebarang tindakan lain dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penyampaian bantuan alat keselamatan kebakaran kepada 612 institut tahfiz yang berdaftar di Ba­ngunan Perdana Putra di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Aktivis Media Sosial, Kamarudin Ahmad menggesa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat vi­deo klip penyanyi kontroversi Namewee yang dikatakan mengandungi aksi lucah tarian sekumpulan penyanyi berdekatan Masjid Putra, Putrajaya.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, perbuatan provokasi berkenaan amat tidak bertanggungjawab kerana sebarang tindakan provokasi yang mengguris sensitiviti agama dikhuatiri mendatangkan risiko tindak balas daripada golongan pelampau agama serta kumpulan pengganas.

Sementara itu, dalam isu berasingan, Ahmad Zahid memberitahu, beliau akan mendapat penjelasan daripada Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir berhubung program pengecu­a­lian visa (VWP) Amerika Syarikat (AS) yang dikatakan tidak akan memasukkan Malaysia ke dalam program berkenaan dalam masa terdekat ini.

“Kita telah ikuti sepenuhnya piawaian berkenaan termasuklah soal keselamatan melibatkan kehilangan pasport dan senarai orang dikehendaki bukan hanya untuk kegunaan visa tetapi juga memenuhi syarat Interpol (polis antarabangsa,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Kamala Shirin berhubung pentadbiran Presiden AS, Donald Trump yang dilihat tidak akan memperluaskan program VWP untuk penyertaan negara-negara lain berbanding 38 negara ketika ini.