Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Li Chunrong berkata, Proton kini hanya menumpukan untuk memperbaiki kualiti produknya, mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan kepuasan pengguna.

Menurutnya, industri automotif sememangnya berdepan dengan persaingan dan bergantung bagaimana untuk menghadapinya.

“Berita tentang kereta nasional telah ramai orang cakap. Namun, bagi Proton apa yang penting ialah memperbaiki kualiti, mengurangkan kos dan meningkatkan kepuasan pengguna.

“Saya rasa ini lebih penting kerana ini ialah perkara asas sekali gus dapat meningkatkan jualan Proton serta memastikan pengguna dapat produk terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pusat 4S (jualan, alat ganti, servis, survei) Proton di Jalan Kebun, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa; Pengarah Vantage Speed Sdn. Bhd., Datuk Sri Tee Boon Kee dan Pengarah Vantage Speed Sdn. Bhd., Datuk Leon Tee Wee Leng.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata, setakat 31 Julai lalu, Proton telah meluluskan 93 cawa­ngan untuk dinaik taraf kepada 3S dan 4S.

“Ini merupakan pencapaian 85 peratus berbanding sasaran untuk menaik taraf sebanyak 109 cawangan pada Oktober ini.

“Pusat 4S ini akan memberikan pengguna pengalaman dan kepuasan yang lebih baik sejajar dengan imej baharu Proton serta model kereta baharu yang bakal diperkenalkan,” ujarnya.