Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, syarikat automotif nasional itu mengalami kerugian RM500 juta tahun lalu dan dijangka meningkat kepada RM1 bilion tahun ini sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah menyusun semula syarikat tersebut.

Ujarnya, Proton hanya mampu mengeluarkan 6,000 unit kereta sebulan atau 72,000 unit setahun berbanding satu juta unit kereta untuk menjadi sebuah syarikat berdaya maju.

Beliau memberitahu, Proton juga telah meminta dana berjumlah RM1.1 bilion bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) daripada kerajaan pada tahun ini.

“Ini duit rakyat kita gunakan untuk menyelamatkan Proton kerana 60,000 orang bergantung rezeki kepada Proton. Berapa lama lagi kita nak curah sumbangan rakyat kepada syarikat itu kalau kita tidak susun semula?

“Sebab itu ini bukan soal emosi tetapi soal hidup mati perniagaan. Kita tidak mahu perniagaan yang mati dan lumpuh. Kita tidak boleh bangga dengan kereta nasional tetapi rugi berbilion-bilion ringgit,” katanya ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa di Masjid Taman Paroi Jaya di sini hari ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Datuk Seri Hasan Malek serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Ir. Azman Mohd.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, dalam mana-mana perniagaan, yang paling penting adalah meraih keuntungan dan bukan sekadar soal mempertahankan maruah semata-mata.

“Kalau kita ada seratus peratus pegangan saham tetapi syarikat rugi, adalah lebih baik kita miliki 51 peratus tetapi perniagaan kita untung. Ada pihak cuba mengelirukan, tetapi rakyat tahu kerajaan melakukan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Dalam majlis yang sama, beliau juga melancarkan Projek Lampu Jalan Kampung Peringkat Negeri Sembilan yang akan menyediakan 4,337 unit lampu kepada 433 buah kampung di negeri ini.