Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemilihan Geely sebagai pelabur adalah tepat berdasarkan keupayaan dan kemajuan yang ada pada syarikat China tersebut, termasuk memiliki jenama automotif Sweden, Volvo.

Katanya, kerjasama itu membolehkan Proton mendapat akses teknologi milik syarikat China itu dan pada masa sama Geely boleh mengoptimumkan aset-aset Proton seperti kilang pengeluaran di Tanjung Malim, Perak.

Tambahnya, satu hari kelak kilang tersebut mampu menjadi pusat pemasangan kereta Volvo, selain sebagai hab pengeluaran kereta Geely bagi pemanduan sebelah kanan.

“Proton telah mengeluarkan pelbagai jenis model popular se­perti Saga, Wira, Perdana dan Satria. Namun selera pengguna kini semakin berubah.

“Model perniagaan yang digunakan tidak mampu bertahan lama. Telah tiba masanya Proton mengubah bentuk perniagaan dan menerokai pasaran yang lebih luas dan untuk itu, perlu mempunyai rakan strategik yang berkeupayaan,” katanya dalam majlis menandatangani perjanjian antara DRB-Hicom Bhd. dengan Geely di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan; Duta Besar China ke Malaysia, Huang Huikang; Pengerusi DRB-Hicom, Tan Sri Mohd. Kamil Jamil; Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar dan Pengerusi Geely, Li Shufu.

Perjanjian itu bagi memuktamadkan persetujuan Geely untuk mendapatkan 49.9 peratus kepentingan DRB-Hicom di dalam Proton berserta kenderaan berprestasi tinggi milik Proton, Lotus.

Tambah Najib lagi, model perniagaan yang sedia ada hanya membolehkan Proton merekodkan jualan 72,000 buah kereta sahaja daripada 600,000 kereta yang terjual sepanjang tahun lalu.

“Ada yang mahu Proton kekal 100 peratus milik Malaysia dengan mengorbankan ratusan juta ringgit. Kita menggunakan duit rakyat untuk membiayai perniagaan yang tidak akan berjaya dan ini tidak bertanggungjawab,” katanya.

Jelasnya, kerajaan sentiasa menyokong Proton termasuk menyediakan dana bagi memastikan perniagaan syarikat bertahan, selain menjamin pekerjaan 10,000 kakitangan Proton dan 200,000 lagi pekerjaan yang bersangkut-paut dengan kereta Malaysia itu.

Malah katanya, beliau sendiri sebagai Perdana Menteri sentiasa menyokong Proton dan hampir setiap masanya menggunakan kenderaan keluaran syarikat Malaysia itu.