Kumpulan tersebut yang diketuai Presiden Jaringan Muslimin Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Nordin berhimpun kira-kira 30 minit di kawasan berkenaan untuk menyuarakan bantahan terhadap pementasan teater kontroversi itu yang didakwa menggalakkan pergaulan bebas.

Mohamed Hafiz berkata, pihaknya mewakili umat Islam di negeri ini amat kecewa dengan kegagalan pihak berkuasa untuk menghentikan pementasan teater berkenaan.

"Kami membantah dengan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menyebarkan pemikiran songsang dalam kalangan masyarakat.

"Bukan kita suruh roboh bangunan ini, cuma pihak berkuasa perlu berjumpa dengan mereka yang terlibat dan meminta mereka untuk menghormati Perlembagaan Persekutuan," katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini pengguna media sosial dikejutkan dengan poster sebuah teater yang bertajuk Sex In Georgetown City.

Selepas mendapat kecaman dan bantahan daripada pelbagai pihak pengarah teater itu, Fa Abdul tampil memohon maaf dan menukar tajuk teater tersebut menjadi Love In Georgetown City.

Menurut Hafiz produksi teater tersebut hanya berselindung di sebalik seni agar pementasan itu diterima semua pihak. - UTUSAN ONLINE