Pengerusi Jawatankuasa Persidangan Bahasa dan Persuratan Melayu Merentasi Zaman, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria berkata, buku berkenaan dihasilkan bagi tujuan pendokumentasian 10 kertas kerja pemakalah yang mengambil bahagian dalam pembentangan sepanjang Pulara.

Muhammad Amin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri berkata, selain dijadikan bahan rujukan, penerbitan buku itu juga berpe­ranan sebagai pemangkin dalam melangsungkan agenda membina generasi berilmu menerusi pemantapan penggunaan bahasa dalam pelbagai disiplin ilmu.

“Ini antara kelainan yang ditampilkan pada Pulara kali kelapan ini setelah sebelum ini tidak ada terbitan sebegini. Dengan respon yang amat baik daripada ahli panel dan peserta, kerajaan negeri akan jadikan ia sebagai terbitan wajib setiap kali berlangsungnya Pulara.

“Kerajaan negeri tidak mahu rakyat menganggap, habis sahaja Pulara maka festival ini tamat begitu sahaja. Sekurang-kurangnya dengan adanya buku prosiding ini, ada rujukan yang ditinggalkan untuk panduan akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Bahasa dan Persuratan Melayu Merentasi Zaman di Pulau Pangkor dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan dan Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, Kamarulizham Hazizi.

Muhammad Amin berkata, pihaknya turut bersedia untuk meletakkan buku prosiding ber­kenaan di perpustakaan sekolah di negeri ini jika terdapat permintaan memandangkan buku berkenaan hanya dibekalkan kepada peserta Pulara.

“Jika ada permintaan dari sekolah-sekolah, kita sedia mempertimbangkan dan buat cetakan lagi. Perkongsian ini sesuatu yang baik kerana penemuan dalam setiap penyelidikan boleh dijadikan rujukan untuk memacu transformasi pemantapan bahasa Melayu itu sendiri,” katanya.

Buku Prosiding Bahasa dan Persuratan Melayu Merentasi Zaman yang mempunyai 167 halaman ini diterbitkan Jabatan Pe­ngajian Melayu IPG Kampus Ipoh.

Buku tersebut buat masa kini hanya dibekalkan kepada peserta Pulara 2017.