Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, langkah itu bagi memastikan tiada mana-mana nelayan yang tidak turun ke laut terus mendapat manfaat daripada bantuan dan insentif.

"Kementerian akan membuat pemutihan dengan menggunakan mekanisme seperti wakil rakyat di kawasan Parlimen dan DUN (dewan undangan negeri), ketua kampung, tok penghulu serta persatuan-persatuan nelayan untuk membuat bancian bagi mengetahui jumlah sebenar nelayan  seluruh negara.

"Langkah ini bagi memastikan tiada nelayan dizalimi. Ini kerana terdapat mereka yang sebenarnya bukan nelayan turut mendapat bantuan daripada kerajaan," katanya selepas Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Nelayan Kuala Kedah di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dalam pada itu, Salahuddin turut menyarankan kira-kira 100,000 nelayan di negara ini supaya melakukan nilai tambah bagi meningkatkan pendapatan dengan membabitkan diri dalam pertanian.

"Di kementerian, kita ada banyak insentif pertanian misalnya untuk tanaman nanas yang mungkin boleh diusahakan kerana boleh ditanam dengan mudah dan mempunyai harga pasaran yang bagus.

"Selain itu, terdapat teknologi fertigasi yang lebih mudah tanpa memerlukan kawasan yang luas tapi hasilnya boleh dijual dan mendatangkan keuntungan. Ini boleh menjadi nilai tambah kepada nelayan untuk meningkatkan taraf hidup," ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) di Kuala Kedah, Mukhriz memberitahu, kerajaan negeri sedang menimbang semula pelaksanaan projek mega tersebut.

"Saya mengarahkan Exco (ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri) untuk menemui  syarikat Qingdao Lu Hai Feng Investment Co Ltd (LHF) yang mencadangkan projek tersebut sama ada masih berminat meneruskan projek tersebut di negeri ini," katanya. - UTUSAN ONLINE