Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam satu kenyataan memberitahu, pegawai kedutaan di Lombok juga sedang menyelaras dengan ahli keluarga bagi memastikan kelancaran urusan membawa pulang kedua-dua mangsa.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua mangsa dijadualkan tiba di negara ini dengan penerbangan melalui Jakarta esok.

“Sebanyak sembilan orang rakyat Malaysia yang mengalami kecederaan telah mendapat rawatan di hospital yang sama, namun empat daripada mereka masih menjalani rawatan hingga hari ini.

“Selain daripada itu, 14 orang rakyat Malaysia lain yang terselamat akan pulang ke Kuala Lumpur pada malam ini dari Lombok,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, kenyataan itu menambah, pihak kedutaan menggesa rakyat Malaysia yang masih berada di Lombok atau kawasan sekitar dan terkesan susulan gempa bumi tersebut untuk menghubungi Pegawai Bertugas Kedutaan Besar Malaysia di talian +62 813 80813036‬.

Pada kejadian gempa bumi berskala 5.8 pada skala Richter itu, dua rakyat Malaysia disahkan terkorban manakala enam lagi masih belum dapat dikesan.

Rakyat Malaysia yang terkorban adalah Datin Tai Siew Kim yang bertugas sebagai Timbalan Eksekutif Ketua Pengarang di akhbar Sin Chew Daily manakala seorang lagi belum dikenal pasti. - UTUSAN ONLINE