Tinjauan Utusan Malaysia mendapati orang ramai mula membanjiri pusat sehenti yang terletak di tingkat tiga Menara Majlis Amanah Rak­yat (Mara) itu kira-kira pukul 12 tengah hari.

Seorang jurujual kompu­ter riba, Norfadila Idrus, 24, berkata, antara promosi yang ditawarkan adalah pemberian rebat serta aksesori percuma.

“Memandangkan sekarang musim untuk masuk semester baharu bagi pelajar universiti, kita ada menawarkan rebat sebanyak RM200 untuk pembelian komputer riba dan pemberian aksesori terpilih.

“Hampir sebulan beroperasi, sambutan sangat menggalakkan dan lebih mengejutkan, pengunjung dari jauh seperti Kedah, Perak dan Kelantan datang untuk memberi sokongan kepada peniaga bumiputera di sini,” katanya di sini hari ini.

Mara Digital yang beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 10 malam dibuka sejak 8 Disember lalu.

Sementara itu, seorang jurujual telefon pintar, Hairul Hafizi Hamid, 25, berkata, harga yang ditawarkan di Mara Digital juga adalah lebih rendah berbanding harga pasaran.

“Kami mengambil stok terus dari kilang tanpa melibatkan orang tengah. Kalau tidak percaya, pe­ngunjung boleh membandingkan harga kami dengan pusat gajet dan alat telekomunikasi yang lain.

“Saya berharap lebih ramai pengunjung akan datang ke sini dan melihat sendiri promosi yang ditawarkan serta sama-sama kita memberi sokongan kepada peniaga kita,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengunjung, Muhd. Dinie Muhd. Ali, 23, berkata, dia berkunjung ke Mara Digital untuk meng­elakkan ditipu peniaga yang tidak bertanggungjawab.

“Kes penipuan barang elektronik dan gajet sekarang semakin menjadi-jadi dan saya memilih untuk datang ke sini kerana yakin dengan peniaga kita.

“Selepas insiden di Plaza Low Yat tahun lepas, saya agak khuatir untuk ke sana dan akan menjadikan Mara Digital sebagai tempat untuk mencari barang kelengkapan elektronik,” katanya yang merupakan seorang pelajar.

Seorang lagi pengunjung, Badrul Hashim, 47, berkata, dia berharap pusat sehenti itu akan diperlengkapkan lagi dengan gajet-gajet terbaharu supaya dapat menarik lebih ramai pengunjung.

“Selain itu, saya merasakan pusat sehenti seumpama ini perlu di buka di seluruh negara. Selain memberi peluang kepada peniaga bumiputera, kita juga dapat membeli dengan penuh keyakinan,” katanya.