Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, menyahut saranan kerajaan ke arah negara bebas rasuah, Prolintas turut mengambil inisiatif mewujudkan buku Kod Etika Perniagaan dan Tatakelakuan (CoBE) dan Kod Tatakelakuan Pembekal (SCOC) .

“Buku ini merupakan garis panduan kepada warga kerja dan pembekal syarikat bagi memastikan proses kerja yang lebih telus berpandukan kod amalan yang ditetapkan serta memantapkan lagi Jabatan Integriti sedia ada.

“Bagi memberi kesedaran dan menghebahkan perkara ini kepada kumpulan syarikat maka Hari Integriti Prolintas 2018 dianjurkan sebagai usaha berterusan mewujudkan jaringan kerjasama dengan rakan strategik lain bagi membangunkan warga Prolintas berintegriti dan berkualiti unggul,” katanya dalam ucapan pelancaran Hari Integriti Prolintas 2018, di sini hari ini.

Mohammad Azlan memberitahu, pada tahun lalu Jabatan Integriti yang ditubuhkan berperanan memberi latihan kepada kakitangan agar integriti menjadi budaya kerja.

“Hari ini unit itu diperkukuhkan lagi serta berfungsi sebagai jabatan yang memantau tadbir urus untuk memastikan tahap integriti dalam kalangan kakitangan serta pihak yang berurus niaga dengan kami sentiasa berada di tahap tertinggi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE