Menurut Perdana Menteri, dua kriteria itu seharusnya menjadi pertimbangan utama dalam mana­-mana projek pembangunan selain Kerajaan DAP Pulau Pinang perlu mempertimbangkan pelan alternatif yang menjimatkan wang rakyat.

Dalam cadangan tambak laut itu, ujar beliau, projek tersebut tidak patut dilaksanakan sekira­nya dilihat ibarat menabur pasir ke dalam periuk nasi kira-kira 1,500 nelayan yang bergantung hidup kepada hasil laut di kawasan berkenaan.

“Kepada golongan nelayan di sini, saya harap jangan bimbang kerana jika cadangan ini merugikan anda dan rakyat, Kerajaan Pusat tidak akan menyokong projek seperti ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Jamuan Rakyat di Politeknik Balik Pulau di sini hari ini.

Majlis anjuran UMNO Balik Pulau itu dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 5,000 penduduk setempat selain dihadiri Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Kerajaan DAP Pulau Pinang ketika ini merancang menambak laut di Permatang Damar Laut di sini bertujuan membentuk tiga buah pulau buatan yang kemudiannya akan dijual sebagai modal bagi menampung kos pelan induk pengangkutan (PIP) negeri bernilai RM46 bilion.

Dalam pada itu, Najib mengingatkan supaya Kerajaan Pusat tidak disalah anggap atau disalah erti sebagai keputusan politik sekiranya cadangan tambak laut yang dikemukakan Kerajaan DAP Pulau Pinang tersebut ditolak.

Menurut beliau, Kerajaan Pusat tidak menilai cadangan itu semata-mata kerana dibawa parti pembangkang sebaliknya berpegang kepada dua syarat utama iaitu kepentingan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

“Bukan pendirian kita menolak mana-mana projek pembangunan semata-mata kerana dibawa parti pembangkang.

“Jika begitu keadaannya tidak mungkin pelbagai usaha pembangunan dibawakan Kerajaan Pusat di negeri ini selama ini walaupun di bawah pentadbiran DAP,” katanya.