Projek dalam dua fasa itu merangkumi pembinaan 425 unit kediaman dalam skim pembangunan berkonsepkan ‘Felda Laut’ iaitu skim mirip Felda, khusus untuk keluarga nelayan, dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, projek untuk membantu rakyat miskin terutama golongan nelayan sekitar Kuala Nerus itu digerakkan oleh kerajaan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Menyifatkannya sebagai satu lagi ‘cerita kejayaan’ Terengganu, beliau memberitahu, untuk fasa pertama yang dijangka mula dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini ialah berjumlah 200 unit yang membabitkan kos sebanyak RM32 juta.

“Untuk fasa pertama hari ini lancarkan projek bagi 200 unit untuk menampung kalangan nelayan seluruh Kuala Nerus terutama yang miskin dan tak ada rumah. Kita nak bantu mereka mengubah kehidupan,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran projek Perumahan AKN

dalam majlis yang turut dihadiri isteri beliau, Toh Puan Seri Halina Zakaria; Yang Dipertua Dewan Undangan

Negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Menurut Ahmad Razif, selain pembinaan rumah, fasa kedua pula akan turut melibatkan pembinaan prasarana termasuk jalan, jambatan, jeti, tempat pemerosesan hasil laut, bazar selain restoran dan premis perhotelan.

Katanya, di samping membantu golongan nelayan, projek berkenaan juga mampu menjana ekonomi serta memberi impak positif kepada sektor pelancongan memandangkan kedudukannya yang strategik berdekatan jambatan angkat yang sedang dalam pembinaan.

Beliau memberitahu, projek perumahan AKN itu juga merupakan cetusan idea bekas Menteri

Besar, Allahyarham Tan Sri Ibrahim Fikri lebih 50 tahun yang lampau, dan bakal direalisasikan tidak lama lagi.

“Kita jangka dalam seminggu dua ini akan melantik kontraktor dan sekiranya berjalan lancar,

projek ini akan segera dilaksanakan dan dijangka siap sepenuh pada 2020.

“Projek ini (AKN) adalah projek perintis dan kalau berjaya, pihak ECER akan jadikannya sebagai model untuk dilaksanakan di selurus negara ,” ujarnya.

Jelasnya, setiap seunit kediaman yang dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air itu akan dijual pada harga RM68,000 selepas disubsidikan oleh kerajaan berbanding harga sebenar sekitar RM300,000.-UTUSAN ONLINE