Projek LPK yang dilaksanakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) itu melibatkan peruntukan bersama berjumlah RM100 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sungai Rambai, Datuk Hasan Abdul Rahman berkata, sebanyak 3,241 unit lampu telah dipasang sepanjang tempoh lapan fasa bermula di kawasan Sungai Rambai sebagai lokasi perintis pada tahun lalu.

“Projek ini adalah impian sejumlah 19,281 penduduk melibatkan 14 buah kampung di Daerah Kecil Sungai Rambai ini untuk mempunyai lampu jalan dan LED.

“Lampu ini juga bukan sahaja memenuhi keperluan penduduk tetapi secara tidak langsung memberikan pendedahan pendidikan mengenai kebaikan kegunaan teknologi hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pe­ngisytiharan Sungai Rambai sebagai Daerah Kecil dekat Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai di sini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Menurutnya, sebanyak 194 buah kampung di negeri ini akan me­nerima kemudahan itu dan projek tersebut dijangka siap sepenuh­nya dalam tempoh lima tahun.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat TNB), Datuk Ir. Mohd Aminuddin Mohd. Amin memberitahu, pemasangan keseluruhan lampu melibatkan LED adalah sebanyak 4,350 unit.

“Hampir 200 buah kampung daripada enam kawasan Parlimen di Melaka dengan hampir 58,200 penduduk akan mendapat manfaat daripada projek ini.

“Sasaran tumpuan pemasa­ngan LJK ini adalah di kawasan strategik umum dan simpang-simpang utama jalan bagi memastikan suasana kampung yang cerah agar aktiviti rukun tetangga dapat dijalankan pada waktu malam dengan lebih selesa serta selamat,” katanya.

Jelasnya, kos anggaran untuk LJK fasa kelapan negeri ini mence­cah RM3.96 juta dengan pemasa­ngan 1,740 lampu termasuk LED.

Tambahnya, sebelum ini pi­haknya hanya bertindak sebagai ejen pelaksana yang menyelenggara projek LJK bersama-sama KKLW, namun untuk fasa kesembilan, TNB turut menyumbang sebanyak RM50 juta menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).