Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Mohd Tahir berkata, kelewatan itu disebabkan beberapa faktor termasuk masalah proses pengambilan tanah sejumlah penduduk yang terbabit dengan projek terbabit khususnya di Kampung Durian Burung.

Beliau seterusnya berharap projek pembinaan lencongan sejauh kira-kira 5.8 kilometer itu berjalan lancar dan akan siap sepenuhnya demi kepentingan serta keselesaan penduduk Terengganu walaupun berlaku kelewatan daripada jadual asal.

Menurutnya, projek itu juga akan memudahkan para pengguna jalan raya selain mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menjimatkan jarak perjalanan.

"Projek di bawah Kementerian Kerja Raya ini dirancang untuk aliran keluar kenderaan daripada memasuki bandaraya Kuala Terengganu serta mempercepatkan perjalanan dari utara ke selatan.

"Antara skop projek ini adalah pembinaan jalan baharu empat lorong sepajang 5.875 kilometer dengan piawaian rekabentuk JKR, membina empat buah jambatan sepanjang 598 meter serta melibatkan skop naik taraf dan pembinaan persimpangan di simpang Tok Molor, Jalan Tok Adis dan jalan di Kampung Durian Burung.

Mohd. Anuar menyatakan perkara itu kepada pemberita ketika mengadakan lawatan tapak projek pembinaan Kuala Terengganu Bypass itu yang kos keseluruhannya mencecah RM321.9 juta di Kampung Wakaf Beruas, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh dan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir. Dr. Meor Ab. Aziz Osman. - UTUSAN ONLINE