Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Husni Zai Yaacob berkata, kedua-dua pemimpin akan membincangkan isu hubungan dua hala yang berkepentingan bersama, menyemak semula perkembangan kerjasama hubungan dua hala sedia ada termasuk inisiatif-inisiatif yang telah dipersetujui semasa sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura 2014 di Kuala Lumpur.

"Pada pertemuan itu kedua-dua pemimpin juga akan membincangkan secara mendalam tentang pembinaan projek HSR antara Kuala Lumpur dan Singapura. Perdana Menteri juga dijangka membincangkan cadangan Malaysia tentang Jambatan Persahabatan yang dibuat pada sesi pemukiman terdahulu," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, pihak Singapura juga dijangka mengumumkan lokasi stesen bagi projek kereta api laju berkenaan.

Perdana Menteri yang ditemani oleh isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam rangka lawatan dua hari ke negara ini bermula hari ini, turut akan menyaksikan majlis menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara berkaitan kerjasama dalam pembangunan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pertahanan Awam Singapura.

Beliau berkata, satu lagi MoU ialah berkaitan pembinaan dan operasi terminal dan perkhidmatan feri antara Semenanjung Malaysia dan Singapura.

Husni memberitahu, Perdana Menteri yang disertai beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman turut akan mengadakan pertemuan dengan wakil daripada Persatuan Komuniti Malaysia di Singapura (MASIS) dan sesi dialog bersama ahli-ahli perniagaan terkemuka di Singapura.

Najib juga dijadual menyampaikan ucaptama pada jamuan makan malam tahunan Persatuan Ekonomi Singapura.

Pada tahun lalu, Singapura merupakan rakan dagang Malaysia yang kedua terbesar di peringkat global dan rakan dagang terbesar dalam kalangan negara ASEAN.

"Jumlah keseluruhan perdagangan pada 2014 adalah sebanyak RM194.52 bilion (AS$59.5 bilion). Tahun 2015 juga merupakan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Singapura," katanya.– UTUSAN