Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Projek Jalan Segamat ke Tangkak siap 98%

Fadillah Yusof (kiri) meninjau pembinaan Jalan Segamat-Tangkak
Fadillah Yusof (kiri) meninjau pembinaan Jalan Segamat-Tangkak yang siap dan boleh digunakan oleh orang ramai di Jementah, Segamat, Johor, semalam. utusan/Ishak Rahmad

SEGAMAT 15 Nov. - Fasa pertama dan kedua projek menaik taraf Jalan Segamat-Tangkak yang melibatkan jarak 22 kilometer (km) dengan kos RM330 juta kini 98 peratus siap.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, fasa tersebut bermula dari pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Segamat sehingga pekan Jementah melibatkan kerja-kerja melebarkan jalan daripada dua kepada empat lorong.

“Fasa pertama dan kedua bermula pada 2011, manakala fasa ketiga akan bermula pada tahun depan dari pekan Jementah ke Taman Negara Gunung Ledang di Sagil sejauh 10.5 km dengan kos RM87.5 juta.

“Fasa keempat, kelima dan keenam dari Taman Negara Gunung Ledang ke pusat pentadbiran Ledang sejauh 28.6 km memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM323.6 juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau perkembangan projek tersebut di Jementah, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat; Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir. Adanan Mohamed Hussain dan Pengarah Kerja Raya negeri, Ir. Asri Arjan.

Fadillah berkata, keperluan peruntukan bagi tiga fasa akhir itu telah dibawa ke Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Kewangan yang akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Menurutnya, projek tersebut yang melibatkan jarak keseluruhan 64 km dengan kos RM964 juta dapat mengurangkan masa perjalanan dari Segamat ke Tangkak selain meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan dengan adanya jambatan, sistem perparitan dan pembetungan di sepanjang laluan dengan struktur jalan turut ditinggikan supaya tidak terputus apabila berlaku banjir.

Beliau juga yakin projek menaik taraf jalan tersebut mampu menjadi pemangkin terhadap perkembangan ekonomi, khususnya di kawasan utara negeri ini, iaitu daerah Muar, Ledang dan Segamat.

Terdahulu dalam sesi taklimat, Fadillah memaklumkan, jalan dari pejabat Kemas Segamat ke Buloh Kasap juga akan dinaik taraf bagi mengurangkan kesesakan di bandar ini.

Kerja-kerja menaik taraf melibatkan jarak 6 km dengan kos RM78.6 juta itu masih di peringkat reka bentuk serta proses penilaian jajaran sedang dilakukan, katanya sambil memberitahu Lebuh Raya Segamat-Kuantan juga akan dinaik taraf untuk laluan ke Pantai Timur.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain