Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, perkara itu turut dinyatakan dalam manifesto Parti Warisan Sabah (Warisan) ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan kerajaan negeri komited untuk memastikan janji itu ditunaikan.

Menurutnya, bagaimanapun kerajaan negeri tetap akan meneruskan pemberian dokumen khas kepada pekerja PATI di negeri ini sebagai usaha untuk memastikan tiada pelanggaran syarat dilakukan mereka.

“Kami akan memastikan perkara itu tidak akan berlaku dan saya fikir isu ini telah saya rangkumkan dalam manifesto kami dalam PRU-14 lalu.

“Tetapi kita memerlukan satu mekanisme yang boleh mengawal pekerja asing di negeri ini, bukanlah pemberian kad pengenalan kepada mereka tetapi penting bagi memudahkan kita mengetahui kedudukan mereka kerana adalah lebih baik kita tahu daripada tidak langsung,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung pemegang kad pengenalan merah berstatus pemastautin tetap berusia 60 tahun ke atas akan diberi taraf warganegara, sekali gus diberi kad pengenalan biru.

Terdahulu, beliau merasmikan Sambutan Bulan Kebangsaan Sutera Harbour Resort yang disertai sembilan kontinjen termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dalam acara perbarisan.

Dalam pada itu, Mohd Shafie menyeru seluruh rakyat untuk terus menanam semangat kecintaan kepada negara dan tidak menjadikan perbezaan masyarakat majmuk di negeri ini sebagai penghalang dalam mengekalkan keharmonian yang telah lama dinikmati oleh rakyat Sabah.

“Sehubungan itu, sempena dengan Bulan Kebangsaan ini diharapkan semua pihak dapat memperjuangkan semangat cintakan negara seperti mana yang dipertahankan nenek moyang kita terdahulu,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE