Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ini memandangkan kerajaan telah membuat keputusan akhir untuk membatalkan projek tersebut.

“Ini adalah keputusan akhir (pembatalan HSR) tetapi ia akan mengambil masa kerana kita mempunyai perjanjian dengan kerajaan Singapura.

“Saya difahamkan jumlah pam­pasan yang perlu dibayar oleh kerajaan kerana memba­talkan projek ini mencecah hampir RM500 juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PBBM di sini hari ini.

Projek HSR yang bernilai RM100 bilion itu antara projek mega inisiatif pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Dr. Mahathir, kerajaan akan berunding dengan Singapura untuk mengurangkan jumlah pampasan yang terpaksa dibayar itu.

“Kita akan cuba mendapatkan pampasan yang rendah sedaya mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kes-kes penipuan melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika Pilihan Raya Umum Ke-14  (PRU-14).

“Kita dapati ada calon kita yang sudah menang tetapi ada peti undi lain datang dan tiba-tiba sahaja calon kita kalah.

“Kita masih belum kenalpasti jumlah sebenar kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, mengenai PPBM, Dr. Mahathir yang merupakan Pengerusi parti itu berkata, beliau mengalu-alukan penyertaaan orang ramai untuk menyertai parti berkenaan.

“Hakikatnya sebelum ini orang kurang minat untuk sertai kita, sekarang dalam sehari kira-kira 1,000 orang mahu menyertai kita.

“Dahulu tumpuan parti ialah untuk mengalahkan Najib, itu objektif utama. Sekarang kami mahu tentukan perjuangan PPBM yang sebenar supaya orang tahu mengenai kita,” katanya.