Isteri Timbalan Perdana Menteri merangkap Penaung Projek Hati Nurani, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman berkata, kesediaan itu adalah untuk kepentingan pesakit yang masih di bangku sekolah meneruskan sesi pembelajaran berterusan.

“Tidak ada istilah pilih kasih buat Hati Nurani dalam membantu mewujudkan SDH di pusat perubatan di negara ini.

“Kita sedia membantu mewujud­kan SDH bagi memberi keselesaan anak-anak dari peringkat tabika se­hingga Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat SDH Hospital Wanita dan Kanak-kanak (HWKK) Likas di sini hari ini.

Yang turut hadir isteri Ketua Menteri merangkap Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Sabah (Bakisa), Datin Seri Faridah Tussin; Pengarah Bahagian Perkembangan Kesihatan, Datuk Dr. Azman Abu Bakar; Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Jame Alip dan Pengarah HWKK Likas, Dr. Tan Bee Hwai.

SDH di HWKK Likas merupakan yang ke-12 diwujudkan di negara ini dan yang pertama seumpamanya di negeri ini.

Noorainee berkata, usaha me­wu­judkan SDH di Sabah dan Sara­wak amat dialu-alukan terutama bagi memastikan pelajar luar ban­dar yang terpaksa mendapatkan rawatan di hospital tidak ketinggalan dalam bidang pelajaran.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, sebuah SDH akan di­wu­judkan di Tawau bagi memberi ke­mudahan pendidikan kepada pe­sakit di daerah itu dalam masa ter­dekat setelah penempatan guru diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).