Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keutamaan akan diberikan termasuk kepada kontraktor-kontraktor kecil dalam pelbagai bidang seperti pembekalan makanan, mekanikal, elektrikal dan sebagainya bagi merancakkan lagi ekonomi negeri.

Di samping itu, beliau turut mengesahkan tidak akan berlaku kebanjiran pekerja asing dari China dalam pembinaan ECRL kerana hanya kalangan tenaga kerja pakar sahaja yang akan dibawa masuk ke negara dan negeri ini.

“Persoalan yang kita bimbangkan adalah sama ada pihak China akan membawa pekerja dari negara mereka dan saya telah mendapat kepastian daripada pihak Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) hanya tenaga pakar sahaja akan dibawa.

“Ini agak melegakan kita bahkan semua pekerja dari China itu akan ditempatkan di kuarters mereka dan tidak bersama masyarakat tempatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hentian Bas Marang di sini malam tadi.

Beliau mengulas perkara itu ketika ditanya mengenai pertemuan dengan wakil MRL yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Darwis Abdul Razak di negeri ini semalam.

Ahmad Samsuri seterusnya menyeru rakyat negeri ini mengambil peluang daripada manfaat projek ECRL dengan tidak membiarkan pihak lain yang tiada kaitan dengan Terengganu untuk mengambil kesempatan.

Katanya, kerajaan negeri akan sentiasa memantau perkara tersebut bahkan turut menyatakan persetujuan dalam pembentukan jawatankuasa dengan MRL.

“Ada lagi aspek pelaksanaan ECRL yang memerlukan pertimbangan kerajaan negeri, kelulusan dan sebagainya.

“Kita mengambil ruang berkenaan supaya dapat membantu syarikat milik rakyat negeri untuk turut sama terlibat,” katanya. - UTUSAN ONLINE