Beliau berkata demikian semasa pertemuan dengan Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir di Ibu pejabat Pas di sini baru-baru ini.

“Saya kemukakan tajuk ekonomi mega seperti ECRL di antara Malaysia dengan China dalam pertemuan tersebut.

“Saya bersetuju projek tersebut diteruskan sekiranya memberi keuntungan kepada semua pihak termasuk Malaysia, bukan kepada China sahaja. Begitulah juga hubungan Malaysia dengan negara-negara lain termasuk AS,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Menurut Abdul Hadi, Islam menggalakkan hubungan de­ngan semua pihak di seluruh dunia secara damai dan adil termasuk dalam aspek ekonomi.

Katanya, beliau turut me­nyentuh mengenai peluang pe­kerjaan dan pemindahan tek­nologi agar tiada sikap bakhil teknologi dalam kalangan negara terlibat.

“Inilah cara bermasyarakat Madani yang diajar oleh Islam.

“Maka Malaysia juga tidak terikat, boleh mengadakan kerjasama yang adil dengan semua, sama ada Timur atau Barat,” katanya.

Selain itu dalam catatan tersebut, dengan merendah diri, Abdul Hadi turut menceritakan pengalaman beliau berdiskusi dengan Duta Besar AS dalam keadaan kurang fasih menguasai bahasa Inggeris yang tidak melayakkannya untuk menjadi Perdana Menteri serta hanya boleh mengetuai sebuah parti ‘pak lebai’.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, beliau hanya berbe­kalkan jati diri Islam dan Melayu serta berpandukan ilmu ekonomi asasi daripada kitab seperti Muqaddimah Ibnu Khaldun dan penulisan sarjana ekonomi Islam yang lain ketika perbincangan tersebut berlangsung.