Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, sudah menjadi tugas kerajaan untuk memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat dan sudah tentu perancangan yang dibuat tidak akan mengenepikan sektor lain.

“Saya yakin, apabila pihak kementerian membuat perancangan, ianya sudah tentu secara holistik dan bukannya mengambil kira satu kaedah sahaja. Jika tidak mengambil kira sektor lain mungkin syarikat bas atau sistem-sistem lain sudah tidak boleh berniaga.

“Apa yang kerajaan buat ini adalah untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna dan sudah tentu syarikat bas, penerbangan dan keretapi sendiri sudah ada perancangan bisnes masing-masing,” katanya ketika ditanya mengenai kenyataan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang mendakwa projek ECRL dan HSR hanya akan ‘membunuh’ industri penerbangan tempatan iaitu Malaysia Airlines (MAS), AirAsia dan Malindo Air.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis pecah tanah jambatan bagi Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abd Samad yang juga calon Parlimen Johor Bahru.

Projek landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru sepanjang 192 kilometer yang dianggarkan menelan kos RM9.4 bilion yang dimulakan bulan ini dijangka siap pada suku keempat tahun 2021. - UTUSAN ONLINE