Pengarah  Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak, Nik Hamadi Nik Abdullah berkata,  projek yang menggunakan sistem bekalan air bawah tanah  dan melibatkan kos sebanyak RM33.7 juta telah mula dibina Mac.

Menurutnya, projek pembangunan saliran itu mampu membekalkan kuantiti air  yang  mencukupi bagi keperluan tanaman padi yang diusahakan.

"IADA akan mendapatkan bekalan air dari sumber  takungan air  Sungai Semerak yang berdekatan yang berfungsi menyelesaikan krisis air pada musim kemarau,” katanya kepada pemberita pada Hari Terbuka Kumpulan Pengguna Air  (KPA)  bersama IADA di Gunong, di sini hari ini.

 Pada majlis itu lebih 700  petani dari jajahan ini dan Bachok menyertai gotong royong mengacau 26 kawah bubur asyura.

Nik Mahadi  berkata, menerusi sistem pengairan kaedah baharu yang pertama dibina di negara ini, petani boleh mengawal keperluan air termasuk menghentikan aliran air sebagaimana penggunaan paip di rumah.

“Pada masa ini mereka hanya bergantung  pada air hujan menyebabkan bekalan air sering  tidak mencukupi sehingga menjejaskan hasil pendapatan mereka,”  katanya.

Katanya,  sejak IADA diperkenalkan pada tahun 1982,  hasil padi dan pendapatan petani di dua jajahan itu telah meningkat daripada 3.9 tan metrik (mt) kepada 4.3 mt sehektar walaupun diusahakan di kawasan sawah bertanah gambut.

"Terdapat  sebilangan kecil petani di sesetengah kawasan  mampu memperoleh hasil sehingga 10 hingga 11 mt  sehektar dengan pendapatan yang cukup lumayan sehingga mencecah RM30,000 semusim,” katanya. - UTUSAN ONLINE