Selain Arafah tempat berwukuf, kawasan yang dikunjungi melibatkan pelaksanaan rukun dan wajib haji iaitu Muzdalifah dan Mina selain Jabal Nur.

Jemaah turut dibawa me­ngunjungi Ji’ranah iaitu salah satu tempat yang ditentukan untuk melakukan miqat khususnya bagi penduduk Mekah.

Seorang jemaah yang ditemui, Fatimah Untak, 70, dari Jeram, Selangor hampir menitiskan air mata kerana buat pertama kali berpeluang menjejakkan kaki ke Jabal Rahmah yang terletak di Arafah dan berdoa di situ.

“Selama ini hanya menonton di televisyen, hari ini dapat pijak kaki ke sini rasa sangat bersyu­kur.

“Saya berdoa agar rumah tangga anak-anak berkekalan hingga akhir hayat dan cucu-cucu pula dapat jodoh yang boleh pimpin mereka ke jalan agama,” katanya yang mempunyai empat anak dan 13 cucu.

Che Yah Othman, 67, dari Tanjong Karang, Selangor pula berkata, dia membayar 30 riyal untuk ziarah Mekah bagi melihat sendiri Arafah, Muzdalifah dan Mina sebelum masyair haji bermula.

Bagi Fadhilah Zulkifli, 33, dia gembira dapat menjejakkan kaki semula ke Arafah terutama Jabal Rahmah, kali ini bersama suami, Akmal Nurhakim, 35.

Katanya, semasa menjejakkan kaki kali pertama di Jabal Rahmah semasa umrah pada 2005, keadaan di Arafah amat berlai­nan.

“Dahulu keadaan di kawasan ini amat berlainan, tiada pokok hanya kawasan lapang dan ada unta untuk tunggangan. Sekarang di sini banyak pokok,” katanya yang mendoakan kebahagiaan rumahtangganya.

Sementara itu mutawif, Hanafiah Abdullah berkata, jemaah dibawa ke Arafah kerana itu kawasan mustajab berdoa.

“Dengan ziarah ini mereka boleh membayangkan situasi yang mereka akan hadapi semasa masyair haji nanti,” katanya.