Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, program berkenaan dianjurkan bertujuan memupuk semangat sukarelawan dalam kalangan pelajar sekolah seawal usia 13 tahun.

“Menyedari kepentingan semangat sukarelawan yang perlu dipratikkan sejak usia muda, usaha ini seharusnya dijalankan melibatkan para pelajar sekolah.

“Menerusi SSM, program ber­konsepkan kesukarelaan akan diterapkan di peringkat sekolah menerusi aktiviti kokurikulum yang sedia ada,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Program SSM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16 (1) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif iM4U, Rudy Malik.

Menurut Ali, iM4U pada tahun ini memfokuskan penyertaan sukarelawan dari usia 13 hingga 17 tahun sejajar usaha­nya meningkatkan penglibatan golongan belia.

Jelasnya, badan itu telah mempunyai tiga juta sukarelawan yang terdiri daripada golongan belia berusia 18 hingga 40 tahun sejak ditubuhkan pada 2012.

“iM4U merupakan platform sukarelawan terbesar di Malaysia yang menyemarakkan sikap kesukarelaan terhadap belia melalui pelbagai aktiviti berimpak tinggi dan tidak konvensional.

“Aktiviti dijalankan bukan sahaja untuk memupuk semangat keprihatinan masyarakat tetapi mewujudkan sikap perpaduan kepada belia bagi mendorong perubahan positif dalam komuniti tempatan,” katanya.