Program di bawah tanggungjawab sosial korporat itu kali ini melibatkan warga sekolah menengah di daerah Besut, Setiu dan Kuala Nerus yang melengkapkan siri pendedahan panduan keselamatan bagi warga pendidik di seluruh daerah di negeri ini.

Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur, Wan Hasnan Wan Abdullah memberitahu, modul kursus SHOC4School ini digubal khas bersesuaian dengan keperluan sekolah serta menepati peraturan pengendalian bahan kimia yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kemungkinan bahaya kimia dan panduan kepada guru-guru Sains dan petugas dalam pengendalian secara betul dan selamat di makmal,”ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap dalam majlis perasmian yang disempurnakan oleh Ketua Sektor Pengurusan Akademi Jabatan Pendidikan negeri, Azman Othman, di sini petang semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals LDPE Sdn.Bhd., Alias Mamat dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Teknologi Petronas (INSTEP), Chandramohan M. Saminathan.

Beliau menarik perhatian, idea penganjuran program yang dijayakan melalui oleh anak syarikat Petronas iaitu Petronas Chemical LDPE Sdn Bhd (PC LDPE) dicetuskan oleh Alias dan jurutera kimia di syarikat itu.

“Ia sebahagian daripada cara kami berkongsi pengetahuan dan pengalaman Petronas di dalam aspek pengendalian bahan secara selamat oleh kalangan petugas makmal melalui modul yang digubal khas bersesuaian dengan keperluan sekolah.

“Atas usaha ini, anak syarkat entiti petrokimia Petronas itu diiktiraf oleh Majlis Industri Kimia Malaysia (CICM) dengan Anugerah Emas Kesedaran Komuniti dan Kod Tindak Balas Kecemasan dua tahun berturut-turut. - UTUSAN ONLINE