Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, program yang diperkenalkan pada tahun 2014 itu melibatkan peserta dari Malaysia, Indonesia, Filipina selain dalam peringkat perintis di Laos.

Beliau berkata, program itu menyasarkan sebanyak 40 peratus daripada peserta mampu mencapai peningkatan 100 peratus dalam pendapatan mereka selepas tamat tempoh bimbingan.

“Program ini sangat berkesan dalam membantu peserta memahami asas-asas perniagaan serta meningkatkan kehidupan mereka dan dalam masa yang sama menyumbang kepada masyarakat.

“Yayasan Maybank diamanahkan untuk memberi kesan positif kepada masyarakat di lokasi Maybank beroperasi dengan memberi fokus kepada pendidikan, komuniti, kehidupan sihat, pelepasan bencana, kepelbagaian alam sekitar serta seni dan budaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Fasa Ketiga Program RISE Fasa 3 yang disempurnakan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban 3 di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE