Dilancarkan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, sebanyak 70 sekolah rendah akan diangkat menjadi Pusat Pembangunan Bakat Badminton di seluruh negara yang melibatkan 140 jurulatih terdiri daripada guru-guru terpilih.

“Apa yang kami lakukan ini merupakan salah satu inisiatif kementerian di bawah pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) melalui Program Tanggungjawab Sosial (CSR) Perodua.

“Seramai 2,800 peserta berusia antara 9 hingga 11 tahun akan mengikuti latihan bersandarkan modul yang ditetapkan. Angka ini merupakan satu anjakan nilai tambah kepada kementerian untuk terus mempromosikan dasar 1Murid 1Sukan (1M1S),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan program tersebut di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri di sini hari ini.

Menerusi program itu, Perodua bakal memberi penajaan untuk tempoh lima tahun dengan peruntukan berjumlah antara RM1.2 hingga RM1.5 juta setahun. - UTUSAN ONLINE