Ketua Setiausaha KKMM, Tan Sri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad berkata, program yang dimulakan sejak dua tahun lalu menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) turut menyelami denyut nadi rakyat yang berfokus kepada ziarah kasih.

Di Pasir Puteh, katanya, KKMM bersama Jabatan Penerangan Malaysia dan Komuniti 1Malaysia berjaya mendampingi penduduk di beberapa kampung di kawasan Selising seperti di Kampung Tua­lang Rendah, Kedai Menanti, Bukit Abal, Kampung Berangan, Kampung Danan dan Banir Belikong.

“Program ini bertujuan melahirkan komuniti berinformasi dan tidak terpinggir daripada pemba­ngunan Teknologi Mak­lumat (ICT) di samping mengu­kuhkan hubungan erat di antara rakyat, pemimpin setempat dan agensi ke­rajaan.

“Kita turun padang bersama agenda yang tersusun selaras de­ngan aspirasi negara dan penekanan perkhidmatan yang disarankan oleh pucuk pimpinan negara termasuk bertin­dak menyelesaikan masalah rakyat.

“Selain membaik pulih rumah, kita juga ada menyumbangkan kemudahan te­levisyen dan Astro NJOI kepada penduduk luar bandar selain kemudahan internet di luar bandar dipertingkatkan,” katanya di sini semalam.

Program Negaraku: Menghu­bung Menyatu @ Pasir Puteh berlangsung di Sekolah Kebangsaan Tualang Tinggi, dekat sini dan disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Waj­di Dusuki.

Turut hadir Tim­balan Ketua Pe­ngarah (Penerangan Strategik), Jabatan Penerangan, Datuk Mohd.Sukari Ab. Hamid; Setiausaha Bahagian Komunikasi Strategik KKMM, Roselindawati Abdul Rahman dan Pengarah Jabatan Pene­rangan Negeri Kelantan, Azahar Ismail.

Sharifah Zarah berkata, program Kembara Jalinan Kasih memberi peluang pihaknya untuk bertemu dengan masyarakat, merasai denyut nadi mereka dan berkongsi suka duka serta bersedia menyelesaikan permasalahan yang dihadapi.

“Kita masih meneruskan pro­gram bersemuka dengan penduduk sebagaimana yang di­laksanakan Jabatan Penerangan Malaysia sejak dahulu lagi untuk me­nyampaikan maklumat dan hal ehwal kemanusiaan seperti program yang dilaksanakan ini.

“Bersemuka dengan rakyat membolehkan masalah seperti ketiadaan bekalan air, elektrik dan lain-lain dapat diselesaikan segera menerusi NBOS. Kami kongsi maklumat dan masalah rakyat di peringkat kementerian untuk diselesaikan secara bersama,” jelasnya.