Menurut Jakim, ia berdasarkan pendirian yang diambil oleh jabatan itu berhubung isu LGBT, iaitu tidak bersetuju dengan perlakuan LGBT, namun tidak menafikan hak pelaku untuk dibimbing dan dinasihati.

Tambahnya, ia bertepatan dengan fungsi Jakim sebagai agensi pusat dalam melaksanakan program pembangunan ummah dan penghayatan Islam.

“Selain itu, ia juga selaras dengan prinsip Maqasid Syariah di antaranya untuk menjaga keturunan, supaya keluarga yang dibina berasaskan konsep asas keluarga iaitu di antara lelaki dan perempuan.

“Selain itu, pendekatan Jakim ini selari dengan pendekatan Rahmatan lil ‘Alamin yang merupakan dasar kerajaan hari ini.

“Meskipun, Jakim menyantuni komuniti LGBT yang ingin mendapatkan hak beragama, dibimbing dengan pendekatan yang berhikmah dan rahmah, ia tidak bermaksud Jakim berkompromi dengan perlakuan yang bercanggah dengan panduan syariat,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Penjelasan itu merujuk kepada kenyataan Numan Afifi sewaktu ucapannya di Semakan Berkala Sejagat (UPR) Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) di Geneva, Mac lalu yang mendapat sokongan 41 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dalam ucapan itu, individu berkenaan mendakwa program Mukhayyam bersama komuniti LGBT yang beragama Islam anjuran Jakim dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri sebagai ‘State Sponsored Violence’ dengan menggunakan pendekatan ‘corrective therapy’.

Menurut Jakim lagi, pengisian program Mukhayyam berteraskan lima elemen atau komponen iaitu Kesedaran Kerohanian / Spritual, Pengetahuan Asas Agama seperti Akidah dan Fardu Ain, Motivasi Diri dan Kerjaya, Kesedaran Kesihatan seperti pengetahuan mengenai virus HIV, penyakit berjangkit dan lain-lain, serta Aktiviti Kecergasan Fizikal.

Walaubagaimanapun, penekanan utama diberikan terhadap elemen bimbingan dan kesedaran kerohanian seperti slot Mengenali Kelebihan Manusia, Matlamat dan Pengakhiran Kehidupan, Iktibar Kematian, serta Terapi Zikir dan Solat.

Jelas Jakim, pihaknya bersikap objektif dengan tidak menaruh prejudis ataupun menghukum kepada komuniti, bahkan ingin mengajak sesiapa sahaja di kalangan komuniti LGBT khususnya yang beragama Islam yang mahu memperbaiki kehidupannya, boleh menyertai mana-mana program dan ruang yang telah disediakan dalam usaha menjalani kehidupan yang sejahtera mengikut neraca syariat.

“Bagi Jakim, mana-mana perlakuan yang menyanggahi syariat, perlu diingatkan sama ada dalam bentuk dakwah yang berterusan kepada pelakunya ataupun tindakan perundangan.

“Jakim komited untuk meneruskan program Mukhayyam bagi membimbing komuniti LGBT berdasarkan impak program yang diakui berkesan sebagaimana dapatan oleh para peserta dan sokongan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti NGO Hijrah yang berkenaan dan MACSA.

“Jakim mengingatkan tuntutan kehidupan bermasyarakat dalam negara perlu selari dengan panduan agama, sosio budaya setempat, nilai-nilai ketimuran serta apa yang telah digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan dan kerangka perundangan yang sedia ada di dalam negara.

“Ia bertepatan dengan kenyataan Perdana Menteri pada 21 September 2018, bahawa Kerajaan bertegas amalan seperti LGBT tidak akan diterima sama sekali di negara ini,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE