Selain itu, kajian menunjukkan bahawa keadaan gelap juga penyumbang utama kepada me­ningkatnya jumlah kemalangan jalan raya.

Menyedari hakikat itu, kerajaan sentiasa berusaha bagi memastikan sistem pencahayaan yang baik dilaksanakan di kampung dan kawasan luar bandar dalam usaha mengurangkan kadar jenayah dan kemalangan.

Salah satu usaha berkenaan adalah menerusi program yang dikenali sebagai pemasangan Lampu Jalan Kampung (LJK) yang bertujuan menerangi kawasan kampung untuk membantu me­ningkatkan kesejahte­raan hidup dan pendapatan penduduk melalui aktiviti ekonomi setempat.

Program itu sekali gus melahirkan penduduk yang berdaya saing dan membantu menyumbang kepada pengurangan bilangan miskin tegar dalam kalangan penduduk luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan serius dalam melaksanakan LJK menerusi peruntukan berjumlah RM100 juta pada tahun ini berbanding RM5 juta pada tahun lalu.

Beliau berkata, peruntukan itu bagi pemasangan 122,133 unit LJK terdiri daripada 6,333 lampu jenis diod pemancar cahaya (LED) manakala selebihnya dari jenis jenis wap sodium tekanan tinggi (HSPV).

“Program LJK walaupun menggunakan belanja yang tinggi, amat diperlukan. Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri meminta supaya kampung-kampung yang dahulunya berada dalam keadaan gelap, diterangkan sebaik mungkin.

“Perdana Menteri tidak mahu keadaan itu berterusan kerana bimbang tentang keselamatan termasuk kemalangan yang mudah berlaku dalam keadaan jalan raya yang sempit dan gelap.

“Perdana Menteri sendiri ber­kali-kali mengingatkan saya tentang perkara ini dan sering menyebut kita mesti prihatin dengan keperluan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya dalam sidang akhbar selepas me­rasmikan Majlis Penyerahan Mock LED LJK 2017 di Kampung Guai di sini baru-baru ini.

Ismail Sabri berkata, pada tahun lalu, kerajaan membelanjakan kira-kira RM70 juta untuk membayar bil elektrik dan kos senggara bagi program LJK di seluruh negara.

Menurutnya, setakat akhir tahun lalu, sebanyak 255,000 lampu dipasang di Semenanjung, 31,811 unit di Sabah dan 27,259 unit di Sarawak.

“Kita menjangkakan jumlah­nya akan meningkat kerana Perdana Menteri telah memperuntukkan RM100 juta pemasangan LJK untuk tahun ini.

“Sehingga kini, 80 peratus kerja pemasangannya telah siap dan kita jangka kerja-kerja pemasa­ngan itu dapat diselesaikan sepenuhnya akhir tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, sejak program LJK dilaksanakan pada 2002, kerajaan menerusi kementeriannya telah membelanjakan kira-kira RM245 juta.