Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Tey Kok Kiew berkata, program tersebut merupakan kejohanan bertaraf antarabangsa yang diilhamkan oleh International Masters Games Association (IMGA) yang berpusat di Switzerland.

“Kejohanan pada kali ini akan diadakan di Pulau Pinang bermula pada 7 hingga 15 September 2018. Bersempena dengan kejohanan tersebut, kerajaan negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) menganjurkan program larian obor ini bermula di Sabah pada 28 April lalu serta berakhir di Pulau Pinang pada 8 September depan.

“Program larian obor ini bertujuan untuk memeriahkan lagi kejohanan di samping mempromosikan kejohanan dan merupakan ‘countdown’ kepada tarikh berlangsungnya kejohanan sukan tersebut pada 7 September nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Penyerahan dan Penerimaan Obor Program Larian Obor APMG Penang 2018 di Dewan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Johor, Aminolhuda Hassan; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Mustaffa Ali dan bekas pelari pecut negara, Datuk Rabuan Pit.

Sementara itu, Kok Kiew memberitahu, larian obor sudah menjadi lumrah ataupun acara tarikan kepada setiap sukan yang berprestij di samping menandakan hari berlangsungnya pesta sukan sebenar telah semakin hampir.

“Saya dapat melihat bahawa pelancaran atau permulaan larian obor ini juga telah disusun dengan begitu rapi dan meriah sesuai dengan peranannya sebagai permulaan simbolik bagi pesta sukan yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Bagi generasi muda, perhimpunan ini turut menjadi pendorong dan pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang bersatu-padu, akrab dan bekerjasama serta berdisiplin,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan supaya orang ramai menyertai pelbagai acara sukan yang dipertandingkan sepanjang kejohanan APMG Penang 2018 berlangsung.

“Antara sukan yang dipertandingkan ialah badminton, bola keranjang, bola sepak, golf, pencak silat, berenang, boling tenpin, wushu dan sebagainya.

“Hari ini, meskipun hujan lebat, namun keadaan itu tidak melunturkan semangat kira-kira 200 peserta yang yang menyertai acara larian obor dan semoga semangat yang telah ditunjukkan akan membawa negeri Melaka ke arah kegemilangan,” katanya. - UTUSAN ONLINE