Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, setakat ini kira-kira 500 nelayan di seluruh negara sudah menyertai Kukenal yang dilatih pasukan bomba bagi melaksanakan kerja-kerja menyelamat.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, seramai 248 sukarelawan nelayan di negeri ini menyertai kumpulan berkenaan yang dikawal selia oleh Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) masing-masing.

“Saya menerima maklumat, nelayan di perairan Johor ini terutamanya di PNK Sedili antara golongan yang turut membantu Ops Carilamat sembilan anak kapal KD Perdana milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terputus hubungan, baru-baru ini.

“Saya ucap tahniah kepada mereka (nelayan) dan selaras dengan itu, saya terpanggil untuk memperluaskan Kukenal ini ke seluruh negara supaya para pengguna laut mendapat bantuan semasa berlaku bencana atau kemalangan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Elaun Sara Hidup Nelayan kepada 601 ahli PNK Batu Pahat, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr. Noraini Ahmad dan Pengarah LKIM ne­geri, Lokman Ahmad.

Dalam pada itu, Irmohizam berkata, seramai 4,410 nelayan yang berdaftar di seluruh negeri ini menerima manfaat daripada pembayaran elaun sara hidup tersebut.

“Kira-kira RM5.3 juta diperuntukan untuk membayar elaun berkenaan sejak Januari sehingga April lalu, manakala pembayaran bagi PNK Batu Pahat hari ini berjumlah RM177,250,” ujarnya.