Pengerusi Jawatankuasa Program Khas Haji YAB Perdana Menteri merangkap Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah berkata, terdapat 1,200 penerima tajaan yang terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Ke­selamatan Kampung (JKKK) dan imam-imam masjid yang dipilih menyertai program itu tahun ini.

“Ramai yang memohon untuk menyertai program ini, namun kita melakukan pemilihan dengan telus dan bersesuaian dengan kriteria yang ditetapkan.

“Program ini adalah hasrat Perdana Menteri yang mahu menghantar umat Islam yang tidak berkemampuan terutamanya Pengerusi JKKK dan imam masjid di seluruh negara menunaikan ibadah haji setiap tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Memasuki siri kelapan pada tahun ini, Jailani yang mewakili para peserta mengucapkan terima kasih kepada Yayasan 1MDB yang terus menaja program itu walaupun menerima tohmahan dan cacian daripada segelintir pihak.

1MDB merupakan satu-satunya syarikat korporat yang melakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membantu umat Islam di negara ini menunaikan rukun Islam yang kelima itu secara berterusan.

Bagi menjayakan program tersebut, Yayasan 1MDB telah membelanjakan lebih RM56 juta untuk memastikan lebih ramai rakyat negara ini, termasuk masyarakat di dalam dan luar bandar berpeluang menunaikan rukun Islam kelima tersebut.

Tahun ini, seramai 1,100 bakal jemaah ditawarkan menyertai program tersebut yang mempunyai latar belakang sebagai imam, pengajar pondok, guru tahfiz, tok batin, pengerusi JKKK dan juga pengamal media.

Mengikut rekod, program tersebut melibatkan seramai 111 orang pada 2011 dan 400 orang (2012) serta 800 orang (2013), manakala empat tahun selepasnya masing-masing melibatkan seramai 1,000 orang, 1,200 orang, 1,100 orang dan 1,100.