ABDUL AZEEZ ABDUL RAHIM
ABDUL AZEEZ ABDUL RAHIM

Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kejayaan program khas haji itu terbukti apabila sejumlah 1,200 jemaah haji terpilih berbanding 200 orang pada 2010 semasa program itu mula diperkenalkan.

Sehubungan itu, beliau berharap jemaah haji yang menyertai program itu akan mendoakan kekuatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terus memimpin negara.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri kerana memperkenalkan program ini yang memberi manfaat kepada pemimpin peringkat rakyat,” katanya dalam satu wawancara video dengan Utusan Malaysia, semalam.

Abdul Azeez ditemui pada program ziarah kasih jemaah haji di Maktab 90 Raudhat Al-Shorouq, di sini semalam.

Turut serta dalam program ziarah itu ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron; Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah; Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji, Tan Sri Badruddin Amiruldin; Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan ahli Exco Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin.

Menurut Abdul Azeez, semua jemaah haji yang dijemput menyertai program berkenaan terdiri daripada pemimpin masyarakat seperti imam, penghulu dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.

“Dalam pertemuan ziarah kasih, ada jemaah haji merasakan mereka tak bermimpi untuk menunaikan fardu haji jika tidak kerana dijemput di bawah program khas haji ini. Sebab itu pada saya, program ini berkesan kerana memberi peluang kepada pemimpin masyarakat peringkat akar umbi,” katanya. - UTUSAN ONLINE