Presidennya, Datuk Zuhairi Ab. Kadir berkata, khidmat Peka menerusi program berkenaan yang sebelum ini hanya dilaksanakan di sekitar Lembah Klang mendapat maklum balas positif dari peserta antaranya dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Nepal.

"Apa yang menjadi perhatian ialah kelebihan-kelebihan yang ditawarkan selepas mereka (warga asing) sah menjadi peserta," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Peserta dari Indonesia, Adika Suwardi, 46, mengakui produk dan khidmat yang ditawarkan Peka memudahkan segala urusan berkaitan keperluan mereka di negara ini.

"Sebagai pekerja di negara asing sudah pasti saya berdepan pelbagai risiko termasuk kemalangan yang tidak dijangka.

"Peka memberi kesedaran kepada saya dan rakan sekerja warga asing yang lain agar sentiasa memikirkan pelbagai kemungkinan yang berlaku," katanya.

Peserta warga Myanmar, Thiha Sitnhi, 27, berkata, usaha Peka menjaga kebajikan warga asing dihargai kerana ada sebahagian daripada mereka menghadapi masalah dengan majikan.

"Ada yang tidak mendapat gaji atau didera oleh majikan. Jadi, usaha Peka ini membolehkan kami mendapatkan khidmat guaman yang disediakan Peka bagi membantu dalam kes-kes tuntutan di mahkamah," ujarnya.

Seorang peserta warga Nepal, Sadip Mar, 53, berkata, dia menyertai program itu setelah rakannya menunjukkan bukti bahawa Program Kebajikan dan Khidmat Imigran Peka membela kebajikan warga asing di negara ini. - UTUSAN ONLINE