Menerusi program berkenaan yang dirasmikan hari ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kediaman golo­ngan itu yang rosak atau daif akan dibaik pulih dan dicat semula, pintu dibaiki dan perabot baharu disediakan demi keselesaan peng­huninya.

Menurut Perdana Menteri, program Jom Bantu Rakyat yang di­mulakan di Parlimen Titiwang­sa hari ini akan diperluaskan ke seluruh negara dalam usaha mendekatkan kerajaan dengan rakyat supaya mereka tidak ketinggalan memperoleh manfaat daripada segala program kerajaan.

“Ini merupakan satu usaha yang disasarkan kepada kumpulan tertentu seperti golongan berpendapatan rendah. Saya melihat projek seperti ini mendapat sambutan yang cukup menggalakkan dalam kalangan mereka yang telah menerimanya.

“Kita lancarkan program hari ini dan akan diperluas ke kawasan-kawasan lain. Program ini diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dengan kerjasama syarikat milik kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Hari ini misalnya, Celcom memberikan telefon pintar kepada setiap keluarga terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program itu di Desa Pandan yang dihadiri kira-kira 2,000 penduduk.

Yang turut hadir Menteri Kewangan II yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Najib juga sempat meluangkan masa melawat tiga buah rumah seterusnya meninjau beberapa gerai pameran yang didirikan oleh agensi-agensi kerajaan sempena program tersebut.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan tidak pernah melupakan golongan miskin dan berpendapatan rendah khususnya di kawasan bandar yang memerlukan bantuan.

“Selain itu, kita juga menyedia­kan peruntukan kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan seperti membaik pulih lif, pagar dan sebagainya. Kita boleh gunakan peruntukan ini dan tidak mengenakan bayaran kepada penduduk,” katanya.

Sementara itu, Najib seterusnya memberitahu, kerajaan akan membangunkan semula Perumahan Awam (PA) Sri Perlis 1 dan 2 di Datuk Keramat di sini melalui pembinaan baharu Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang lebih moden secara berpe­ringkat.