Ismail Bakar
Ismail Bakar

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar (gambar) berharap semua pesawah menyambut baik keputusan kerajaan itu bagi membolehkan mereka meneruskan tanaman pada musim kedua tahun ini.

Ismail berkata, keperluan benih padi sah setiap tahun adalah sebanyak 80,000 tan metrik dengan mengambil kira berlaku sebarang kejadian bencana berbanding keperluan sebenar benih padi sebanyak 72,000 tan metrik bernilai RM75 juta.

“Bagi tahun ini, peruntukan permulaan sebanyak RM50 juta telah diberikan oleh kerajaan iaitu bersamaan dengan 48,540 tan metrik benih padi. Sebanyak 200,000 pesawah telah menerima benih padi bersubsidi bagi musim pertama tahun ini.

“Bagi musim ke­dua tahun ini pula, sebahagian daripadanya telah menerima be­kalan benih padi. Kerajaan berharap se­mua pesawah me­nyambut keputusan kerajaan meneruskan program insentif benih padi ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ismail, program insentif yang dimulakan sejak 2006 itu bertujuan membantu pesawah mengurangkan kos pe­ngeluaran padi serta menggalak­kan mereka menggunakan benih padi sah yang berkualiti, bermutu tinggi, rintang penyakit dan mengurangkan padi angin.

“Program ini melibatkan fungsi dan peranan pelbagai jabatan dan agensi termasuk syarikat swasta sebagai pengeluar benih. Kementerian melalui Bahagian Industri Padi dan Beras juga berpera­nan sebagai salah satu daripada penggubal dasar industri ini serta menentukan kuota benih padi sah kepada pengeluar,” katanya.

Selain itu, kata­nya, Jabatan Perta­-
nian sebagai agensi pengesah sentiasa membuat pemantau­an dan pengesahan kualiti benih padi sah di pasaran seperti MR284, MR297, MR219, MR220 CL2 yang digunakan oleh pesawah dan pada tahun ini hingga 2019 terdapat sembilan pengeluar benih padi telah dilantik melalui tender terbuka.

Dalam pada itu, katanya, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pula berperanan sebagai agensi penyelidikan bagi menghasilkan benih padi yang bermutu tinggi serta membekalkan benih padi asas kepada sembilan pengeluar tersebut.