Katanya, ini kerana go­longan itu perlu diberi perhatian sepenuhnya bagi membolehkan mereka mendapat akses kepada bekalan makanan dengan harapan dapat menjimatkan per­belanjaan bagi pembelian makanan.

Beliau menjelaskan, ini juga secara tidak langsung meningkatkan pendapatan boleh guna (disposable income) golongan tersebut untuk digunakan ke atas perkara-perkara penting lain seperti pendidikan dan kesihatan.

“Melalui Program Food Bank Malaysia di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ini, lebihan makanan yang diterima akan disalurkan kepada kumpulan-kumpulan sasar dan rumah kebajikan berdaftar.

“Program Food Bank Malaysia ini juga mensasarkan sebanyak 186,354 ketua isi rumah (KIR) di bawah Paras Garis Kemiskinan di seluruh negara untuk diagihkan lebihan makanan yang dikumpul,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran program Food Bank Malaysia di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut Dr. Mahathir, bagi memastikan pengurusan lebihan makanan dan pelaksanaan program itu lebih sistematik dan teratur, kerajaan bersetuju me­lancarkan Yayasan Food Bank Malaysia.

Yayasan itu, katanya, akan menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan mengurangkan pembaziran makanan di sam­ping menangani isu peningkatan kos sara hidup rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata, untuk memastikan pelaksanaan program tersebut lebih teratur, kerajaan berhasrat mewujudkan undang-undang khas bagi melindungi bukan sahaja penerima, bahkan penyumbang bantuan.

“Langkah sama juga telah diambil negara-negara luar yang lebih awal melaksanakan program seumpama ini seperti Perancis dan Amerika Syarikat (AS),” katanya.