Tambah meriah apabila gotong-royong itu melibatkan go­longan wanita yang turut membantu menyediakan makanan tengah hari iaitu nasi beriyani istimewa kepada le­bih 500 pe­ngunjung yang hadir di masjid berkenaan bermula pukul 2 petang.

Mereka berkumpul seawal pukul 8 pagi bagi menunggu ketibaan haiwan korban di pekarangan masjid berkenaan yang dibawa dengan dua lori dan suasana bertambah ceria dengan gelagat kanak-kanak yang teruja melihat kambing sebelum disembelih.

Pengerusi Kariah masjid itu, Datuk Meera Mydin berkata, kesemua kambing yang disembelih itu merupakan haiwan korban sumbangan orang ramai, hasil hebahan yang dibuat pihak masjid sejak dua bulan lalu.

Menurutnya, korban pada tahun ini tidak melibatkan lembu kerana penduduk di kawasan itu lebih menggemari daging kambing selain proses pembahagian ibadah korban lebih mudah kerana melibatkan satu pihak untuk seekor binatang sembelihan.

“Kalau lembu kita kena letak tujuh penama dan harganya lebih tinggi berbanding kam­bing. Proses sembelihan kambing lebih mudah dan suasana juga lebih meriah apabila kita menyembelih dalam kuantiti yang banyak.

“Lapan ekor daripada sembelihan ini akan dimasak untuk dihidangkan dalam majlis makan tengah hari nanti, selebih­nya kita akan bungkus dan agih­kannya kepada kira-kira 400 keluarga asnaf di sekitar negeri ini,” katanya kepada pemberita di masjid itu di sini hari ini.

Ditanya perbezaan ibadah korban tahun ini dengan sebe­lumnya, beliau berkata, peningkatan jumlah korban sebanyak 50 ekor kambing menunjukkan tahap keprihatinan umat Islam dalam melaksanakan tanggungjawab kepada agama.

“Kalau kita lihat 17 tahun lepas, masjid ini hanya menyembelih antara 60 hingga 70 ekor kambing tetapi orang ramai semakin prihatin, mereka yang berkemampuan akan melaksanakan ibadah ini,” katanya.