Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, program itu adalah untuk kegunaan semua jenis kenderaan diesel termasuk kenderaan pacuan empat roda, lori dan bas.

“Penggunaan 10 peratus biodiesel sawit di Malaysia akan mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (greenhouse gas) sebanyak 1.6 juta tan karbon dioksida setahun.

“Dalam bahasa yang mudah, Program B10 akan menyumbang kepada pengurangan pembebasan gas karbon dioksida bersamaan dengan 10 peratus daripada jumlah kenderaan diesel setahun di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelaksanaan Program B10 Sektor Pengangkutan di Dataran Putra, di sini hari ini.

Menerusi program itu, Dr. Mahathir berkata, kualiti udara terutama di kawasan bandar akan turut meningkat melalui penggunaan biodiesel dengan pengurangan pelepasan debu dan asap hitam ke udara.

Katanya, pelaksanaan Program B10 adalah tepat pada masa ini memandangkan harga biodiesel sawit yang rendah berbanding dengan diesel petroleum.

“Hari ini, negara jiran kita Indonesia telah mengatasi Malaysia dan muncul sebagai pengeluar minyak sawit terbesar di dunia.

“Indonesia juga telah berjaya melaksanakan program B20, iaitu 20 peratus adunan biodiesel sawit dengan 80 peratus diesel fosil secara mandatori sejak Januari 2016 pada sektor pengangkutan tanpa sebarang masalah,” ujarnya.

Menurut beliau, program biodiesel di Indonesia kini telah berjaya mengurangkan pengimportan diesel dan mengukuhkan industri sawit dan ekonomi negara Indonesia.

Sehubungan itu, beliau menggesa industri sawit di Malaysia untuk berani meneroka pasaran baru dan membuktikan di mata dunia bahawa kualiti minyak sawit Malaysia adalah antara yang terbaik. - UTUSAN ONLINE