Presiden RCBA, Yap Fatt Lam berkata, program tersebut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta mendapat penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat dari dalam dan luar negara.

Malah kata beliau, aktiviti berkenaan turut menarik minat beberapa universiti tempatan menyertainya.

“Program ini merupakan salah satu program untuk mengumpulkan dana bagi pesakit buah pinggang di samping memberikan kesedaran kepada masyarakat terutamanya golongan muda tentang semangat kesukarelawan.

“Ketika ini, pihak kami berjaya mendapat kutipan dana sebanyak RM30,1123.33 daripada pelbagai pihak,” katanya ketika pelancaran Program Larian Tren Khas Rotary Club Bukit Angkasa, disini hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Perolehan KTM Berhad, Mohd. Hider Yusoff berkata, KTM Holidays turut menyediakan ‘Koc Basikal’ yang telah diubahsuai lengkap bercirikan keselesaan penumpang dan keselamatan basikal serta boleh memuatkan 100 unit basikal dalam satu gerabak.

“Koc Basikal ini merupakan salah satu perkhidmatan yang disediakan oleh pihak KTM, di mana para peserta boleh berehat sambil menikmati suasana dan keindahan sepanjang perjalanan.

“Pihak KTM juga turut menawarkan pakej-pakej lain seperti ‘Koc Persidangan’, ‘Koc Acara’ dan ‘Koc Salon’ yang boleh disewa untuk acara rasmi oleh mana-mana pihak ataupun organisasi.” katanya. - UTUSAN ONLINE