Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, sehubungan itu kementerian akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan pada penghujung tahun hadapan berkenaan pelaksanaan misi berkenaan.

“Kita sedang merangka perincian menerusi perjumpaan, perbincangan dan perundingan bersama golongan saintis dan ahli akademik dalam menentukan jenis penyelidikan yang sesuai untuk dilakukan angkasawan kedua kelak.

“Kita perlu menentukan justifikasi jenis program berdasarkan kejayaan program angkasawan yang pertama,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Di Angkasa sempena ulang tahun ke-8 Angkasawan Negara peringkat negeri di sini hari ini.

Menurutnya, misi penghantaran kali kedua itu perlu berbeza dan kementerian akan mengumpulkan segala maklumat yang diperlukan.

“Selepas itu barulah cadangan boleh dihantar kerana misi kedua ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan tidak offset dengan kerajaan Rusia seperti sebelum ini,” katanya.

Yang turut hadir Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha; Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Abu Ubaidah Redza.

Menurut Abu Bakar, cadang­an tersebut dijangka lebih rumit berbanding misi pertama selain memberi impak positif terhadap perkembangan sains dan teknologi di Malaysia.

Oleh yang demikian katanya, pemilihan angkasawan kedua akan dilakukan bagi menentukan individu yang layak untuk menjalankan misi tersebut.

Sementara itu, Abu Bakar menjelaskan, karnival yang dianjurkan kali ini merupakan antara pendekatan dalam usaha memajukan sains di Malaysia.

“Penjelajahan ke angkasa lepas adalah penting untuk sains pada masa hadapan dan ini adalah sebahagian kejayaan yang telah kita capai,” ujarnya.